KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM2,000 sebagai balasan melindungi kegiatan penjualan dadah dan mengelakkan daripada diambil tindakan undang-undang.
Sumber memberitahu, suspek lelaki yang berusia 40-an itu telah ditahan antara kira-kira jam 9 pagi tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Beliau telah ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik seorang individu lain pada tahun 2021,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek telah dilepaskan dengan jaminan seorang penjamin sebanyak RM10,000 tanpa deposit dan akan dituduh pada 5 Februari 2024 di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah.