NABAWAN: Sekolah Kebangsaan Malaing di Parlimen Pensiangan telah dipilih untuk menjadi lokasi pertama di Sabah dan Borneo yang menerima pemasangan Starlink berspesifikasi tinggi oleh agensi Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
SK Malaing merupakan salah satu daripada 3 lokasi yang telah saya mohon selain daripada SK Bonor dan SK Longongon, Nabawan.
Inisiatif ini merupakan tambahan fasiliti yang bersifat sementara bagi menawarkan kemudahan capaian internet yang stabil dan laju bagi kemudahan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata sebagai langkah penyelesaian jangkamasa panjang, sebanyak 55 menara telekomunikasi baharu di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dibina bagi memastikan Parlimen Pensiangan mempunyai liputan internet yang lebih meluas, laju dan stabil di masa hadapan.
Katanya beliau telah melawat ke Kampung Malaing untuk meninjau dan mencuba sendiri prestasi perkhidmatan internet Starlink tersebut.
Menurutnya penduduk di Kampung Malaing menyatakan penghargaan atas inisiatif yang telah dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital dan mereka amat berpuas hati dengan kelajuan dan kestabilan capaian internet oleh Starlink.
“Merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar terutamanya kawasan pedalaman Sabah merupakan salah satu agenda yang saya perjuangkan sejak menjadi Ahli Parlimen yang membawa suara rakyat di kawasan Pensiangan.
“Saya percaya akses kepada capaian internet dan teknologi akan membantu mewujudkan pelbagai peluang bagi sesebuah sesebuah komuniti untuk memacu perubahan ekonomi yang signifikan seterusnya menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau yakin capaian internet yang stabil akan membolehkan anak-anak di kawasan pedalaman untuk turut serta secara aktif dalam pembelajaran dalam talian (PdP).
Katanya di samping itu menerokai teknologi dan kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (A.I), realiti maya (V.R), pengkodan dan pelbagai lagi yang dapat meningkatkan kemahiran diri mereka sejajar dengan keperluan pasaran industri di masa akan datang.
Arthur berkata pemasangan peralatan Starlink di SK Malaing secara tidak langsung mencerminkan bagaimana hubungan erat antara pemimpin setempat, anggota pentadbiran dan juga agensi Kerajaan dapat mewujudkan kerjasama merentasi agenda politik dalam memberikan perkhidmatan yang optimum kepada masyarakat umum.