Setahun tempoh selesaikan isu 40 peratus hasil Sabah

KOTA KINABALU: Satu resolusi terhadap isu tuntutan 40 peratus hasil atau geran khas Sabah yang sudah berlarutan sejak sekian lama dijangka dapat dicapai dalam tempoh setahun dari sekarang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata perkara itu diputuskan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Langkah untuk menyelesaikan isu ini yang belum selesai selama 58 tahun lalu amat penting bagi memastikan Sabah menerima hasil yang menjadi hak negeri ini.

“Rakyat Sabah menunggu lebih separuh abad untuk perkara ini dan ia menjadi tanggungjawab kita memastikan bahawa penantian itu tidak akan berpanjangan lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffrey yang mewakili kerajaan negeri dalam jawatankuasa MA63 itu memperakui bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menunaikan hak perlembagaan yang tertangguh itu.

Katanya, beliau memperakukan dan menghargai pemberian interim geran khas RM300 juta dari Putrajaya tetapi menegaskan ia hanya penyelesaian sementara.

“Peruntukan interim itu hanya sebahagian daripada apa yang menjadi hak Sabah. Pemberian RM300 juta itu adalah satu langkah positif tetapi sasaran utama kita ialah merealisasikan pengembalian hasil bersih 40 peratus kepada Sabah,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, pembentukan satu formula baharu untuk pengagihan geran khas hasil tidak perlu memandangkan Perlembagaan Persekutuan sudah memperuntukkan mekanismenya seperti dinyatakan dalam Perkara 112D, 112C dan 112C(6), bersama dengan Perenggan 24 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Maklumat atau data yang diperlukan untuk pengiraan itu boleh dan sepatutnya disediakan oleh agensi persekutuan seperti Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sudah ada rangka kerja, jadi apa yang kita perlukan sekarang ialah data yang sesuai. Saya juga mencadangkan supaya Sarawak menggunakan formula yang sama, berbanding secara berasingan.

“Saya percaya keseragaman itu bukan saja membawa konsistensi, malah mempercepatkan proses penyelesaian dan menghindari penangguhan yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey menjelaskan bahawa penerimaan geran RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya disalah erti sebagai melepaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil yang dikutip di negeri ini.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap komited untuk menjaga hak dan kepentingan Sabah.

“Tuduhan pembangkang bahawa GRS menyebabkan Sabah kehilangan hak terhadap 40 peratus hasilnya adalah tidak berasas, selain satu serangan berterusan terhadap pentadbiran GRS.

“Kita meminta semua pihak, khususnya Kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dan memastikan bahawa perkara ini diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya.