Sesi ‘Dialog lebih baik dari Demonstrasi’ atasi masalah air di Sepanggar – Mustapha

KOTA KINABALU: Kaedah ‘Berdialog’ lebih baik berbanding menganjurkan sesi ‘Demonstrasi’ sebagai usaha menstabilkan bekalan air di Sepanggar serta kawasan lain yang terlibat di negeri ini.

Mustapha Sakmud

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, langkah ini lebih konstruktif daripada berdemonstrasi bagi mengutarakan masalah mereka dengan mengikut saluran yang betul.

Katanya, langkah kumpulan tertentu mengadakan berdemonstrasi di pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dilihat tidak boleh menyelesaikan gangguan bekalan air dalam tempoh terdekat ini.

“Isu sebenar krisis air di Sepanggar adalah ketidakcukupan sumber bekalan daripada loji Telibong dan Moyog. Kedua-dua loji air ini  sedang beroperasi melebihi had yang sepatutnya.

“Projek penambahan bekalan air dikenali sebagai Telibong Dua sedang dalam perlaksanaan terlewat dari jadual asal sekali gus perlu disiapkan segera untuk menampung bekalan sumber air,” katanya di sini hari ini.

Mustapha merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, beliau mencadangkan pihak terbabit agar berunding secara baik bersama JANS serta mendengar taklimat berkenaan isu air ini.

“Saya merayu agar sesi dialog dibuat agar semua pihak dapat memahami isu sebenar ini adalah berpunca daripada kelewatan projek terbabit,” katanya.