Seramai 262 calon bersaing untuk Dewan Belia Sabah memilih 73 wakil DUN Sabah

KOTA KINABALU: Dewan Belia Sabah (DBS) 2023 yang julung kali diadakan bakal menyaksikan seramai 262 calon bersaing sepanjang enam hari di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mereka akan mewakili DUN masing-masing dalam Persidangan DBS yang dijadualkan pada 30 dan 31 Oktober ini.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, proses undian bermula 2 hingga 7 Oktober itu akan membabitkan seramai 32,985 orang pemilih berdaftar di seluruh Sabah.

“Proses pengundian akan dilaksanakan pada 2 hingga 7 Oktober ini melalui QR Code yang akan dikeluarkan melalui halaman Facebook rasmi MBS dan IKEBS pada esok (2 Oktober) jam 12.01 pagi.

“Seramai 32,985 orang pemilih berdaftar daripada kalangan belia berusia 15 hingga 35 tahun akan terlibat di dalam pemilihan pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abqaree berkata jumlah penyertaan belia di negeri ini di dalam DBS 2023 merupakan sesuatu di luar jangkaan sekaligus menggambarkan minat anak-anak muda terhadap program kepimpinan belia berprestasi tinggi.

“Pada mulanya MBS hanya menjangkakan penyertaan seramai 5,000 orang pemilih. Sehingga 20 September 2023 daftar pemilih hanya mencapai 3,782 pemilih yang berdaftar dan Jawatankuasa DBS sebulat suara untuk melanjutkan tempoh pendaftar sehingga 30 September 2023.

“Ini atas faktor daftar pemilih yang masih rendah dan beberapa kawasan DUN belum mendaftarkan calon mereka masing-masing.

“Lonjakan penyertaan seramai 32,985 orang pemilih sepanjang tempoh pelanjutan di dalam DBS memberi gambaran baharu kepada MBS bahawa belia di negeri ini sangat dahagakan program kepimpinan berprestasi tinggi,” katanya.

Justeru itu, katanya,, DBS merupakan platform kepimpinan terbaik yang akan kita usahakan untuk dikekalkan dan ditambah baik pada tahun-tahun mendatang.

DBS merupakan program simulasi persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberi peluang kepada belia menyuarakan pandangan dan idea dalam sesi persidangan yang dijangka berlangsung pada 30 dan 31 Oktober.

Sesi persidangan yang akan diadakan bakal melibatkan 73 Ahli DBS yang memenangi pemilihan di setiap DUN di negeri Sabah.

Pendaftaran calon dan pemilih berusia 15 sehingga 35 tahun yang dibuka bermula 2 September lalu telah ditutup pada 30 September.

Manakala proses pengundian akan dilaksanakan pada 2 hingga 7 Oktober jam 5.30 petang sebelum pengumuman pemenang bagi setiap DUN dilakukan sejurus peti undian atas talian ditutup.