KOTA KINABALU: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) negeri Sabah dilancarkan pada 3 Februari lepas, menyasarkan penerima suntikan vaksin untuk kanak-kanak yang berumur antara 5 hingga 12 tahun di negeri ini.
Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Asrul Samat, berkata PICKids di Sabah perlu dijayakan sebaik mungkin melibatkan kerjasama kalangan ibu bapa atau penjaga, susulan berlakunya peningkatan jumlah kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak pembukaan semula sekolah awal tahun ini.
Katanya, selain membantu mendaftarkan anak untuk temu janji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera, ibu bapa atau penjaga juga berperanan untuk membawa anak ke pusat pemberian vaksin (PPV) serta memantau tahap kesihatan selepas divaksin.
“Dalam hal ini, adalah diharapkan agar majikan memudahkan urusan pekerja dari kalangan ibu bapa atau penjaga yang ingin membawa anak ke PPV.
“Pada tarikh temu janji serta pemantauan kesihatan susulan selepas menerima suntikan vaksin, dengan memberikan kelonggaran atau pelepasan daripada bekerja untuk melaksanakan urusan berkenaan.
“Ini selaras dengan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesa majikan agar memberikan cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Asrul berkata, pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelaksanaan PICKids agar dapat berjalan dengan lancar.
“Ini sekali gus dapat memberikan kebaikan kepada semua khususnya ke arah mencapai imuniti kelompok di negeri Sabah,” katanya.