Pengetahuan dalam Kursus perlu dikongsi bersama keluarga, masyarakat

TUARAN: Isteri Ketua Menteri, Datin Juliah Salag merasmikan penutupan Kursus IlmuKeluarga@LPPKN disertai lebih 70 peserta daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, di sini hari ini.

Juliah Salag (dua kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang peserta sempena Penutupan Kursus Ilmu di Majlis Daerah Tuaran hari ini. Gambar oleh: JKM Sabah.

Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri Sabah itu memberi fokus kepada Pengurusan Kewangan Keluarga dan juga penglibatan pusat keluarga bergerak yang memberikan perkhidmatan seperti pendaftaran mamogram, HPV DNA dan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat di daerah Tuaran.

Sambil menegaskan program ini adalah satu titik permulaan yang baik dan wajar diteruskan agar masyarakat sentiasa mendapat perkhidmatan yang ditawarkan oleh LPPKN, Juliah berharap semua peserta ini juga akan berkongsi ilmu yang diperoleh bersama keluarga serta penduduk di peringkat akar umbi.