Sejumlah RM 2.1juta disalurkan kepada petani, penternak dan nelayan di Labuan – Mohamad Sabu

LABUAN : Sejumlah RM2.1 juta diperuntukkan kepada golongan petani, penternak dan nelayan Labuan sepanjang tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan itu merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong golongan petani penternak serta nelayan bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Katanya, ini termasuk untuk memberi tambahan kepada pendapatan golongan itu sekali gus berusaha memperbaiki taraf hidup golongan mereka.

“Peruntukan itu adalah sebahagian usaha Kerajaan Perpaduan membantu dan menyokong petani penternak dan nelayan.

“Antaranya, melalui pelbagai program strategik yang bukan sahaja meningkatkan taraf ekonomi nelayan tetapi juga meningkatkan Keselamatan Makanan yang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Program Libat Urus Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini semalam.

Mohamad Sabu berkata, antaranya Program Peningkatan Pendapatan Pesawah Luar Jangka, Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan,  Program Pembangunan Pertanian Komuniti, Program Pembesaran Unjam Unjam dan Program Agropreneur Muda.

“Turut mendapat limpahan daripada peruntukan ini ialah Program Pembangunan Tanaman Buah Buahan jangka pendek dan panjang.

“Selain itu, Program Pembangunan Tanaman Sayuran Dan Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana,” jelas Mohamad Sabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Peladang Negeri Wilayah Persekutuan menerima dana peruntukan sebanyak RM500,000.

“Ia juga turut membabitka Komuniti nelayan menerima manfaat daripada pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan diperuntukkan sebanyak RM356,400 untuk tempoh Januari hingga Disember tahun ini,” kata Mohamad Sabu.