LAHAD DATU: Akibat terlalu asyik bermain seorang kanak-kanak lelaki terpaksa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu selepas jari kanan melekat pada ‘Tombol Pintu’ rumahnya di sini hari ini.
Ketua Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu, Pomolis Polin berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.00 petang tadi di kawasan rumahnya di Kampung Warisan Jalan Tengah Nipah.
Katanya, kanak-kanak yang berusia lapan tahun itu kemudian terpaksa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Ketika tiba di hospital…..kakitangan berkenaan cuba mengeluarkan jari mangsa namun gagal menyebabkan pakar perubatan menghubungi pihak bomba.
“Pihak kita bersama sembilan anggota bergegas ke Hospital Lahad Datu kemudiannya menggunakan sejenis alat pemotong tulang (Bone Cutter) untuk mengeluarkan jari mangsa yang tersepit di dalam tombol pintu tersebut,” katanya.
Pomolis berkata, mangsa menahan kesakitan lebih sejam sebelum tombol tersebut berjaya dikeluarkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat.