KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah ingin memaklumkan bahawa sehingga Minggu Epidemiologi 52 (ME-52) pada tahun 2023, sebanyak 6,983 kes denggi telah dilaporkan iaitu penurunan sebanyak 1.8 peratus berbanding tahun 2022 (7,110 kes).
Pengarah JKN Sabah Datuk Dr Asits Sanna berkata terdapat 11 kematian akibat demam denggi dengan kadar kematian sebanyak 0.16 peratus melibatkan lapan daerah iaitu tiga di daerah Sandakan, dua di daerah Kunak dan masing-masing satu di daerah Papar, Semporna, Kudat, Nabawan, Putatan serta Tuaran.
Katanya ini merupakan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 10 kematian akibat komplikasi demam denggi.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, dijangka berlaku curahan hujan berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) di sepanjang bulan Januari dan Februari 2024,.
“Justeru orang ramai diminta mengambil langkah-langkah pencegahan, antaranya melakukan aktiviti cari dan musnah di sekeliling premis 10 minit setiap minggu dan gotongroyong di kawasan kediaman masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan.
Asits berkata selain itu, orang ramai diminta untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk seperti menggunakan repelan dan semburan aerosol ketika waktu nyamuk aktif iaitu pada waktu awal pagi (5 – 7 pagi) dan lewat petang (5 – 7 petang).
Tambahnya, serta mendapatkan rawatan awal di mana-mana fasiliti kesihatan jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit sendi/tulang/otot, sakit kepada yang kuat serta sakit di belakang mata