“Saya tidak tahu-menahu wang sebanyak RM300,000,” kata Masidi

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, mendakwa tidak tahu-menahu mengenai wang sebanyak RM300,000 yang kononnya diserahkan melalui pegawai khasnya.

Beliau merujuk video terbaharu berkaitan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah didedahkan sebuah portal berita hari ini, turut berkata tidak ingat perbualannya ketika video itu dirakam.

“Saya merujuk kepada video ‘whistleblower’ yang mengaitkan saya didapati disiarkan oleh sebuah portal.

“Sekadar untuk makluman, saya tidak pernah ingat perbualan itu kerana rakaman perbualan tersebut telah disunting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi berkata, video memaparkan perbualannya dengan seorang individu berhubung dana RM300,000 yang dikaitkan dengannya sudah disunting.

“Sekadar untuk makluman, saya tidak pernah ingat perbualan itu kerana rakaman perbualan tersebut disunting.

“Yang saya ingat beliau menawarkan untuk menyumbang kepada parti dan saya telah menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk berbuat demikian,” jelas Masidi.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sebarang siasatan atas dakwaan itu oleh pihak yang berwajib dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi penyiasat.

Hari ini, satu video sepanjang tiga minit 56 saat memaparkan perbualan Masidi dan pegawai khasnya dengan seorang individu dipercayai ahli perniagaan disebarkan melalui sebuah portal, antara lain mendedahkan perbincangan berkaitan dana kepada Masidi.