KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya mencadangkan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta perlu disalurkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan Sabah.
Katanya, ini bagi memastikan kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan projek pembangunan tersebut.
“Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan, senario kelewatan projek pembangunan tetap boleh berlaku walaupun dengan pengikhtirafan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai jabatan teknik.
“Prosedur perolehan yang berkaitan perlulah diselaraskan bagi mengelak kelewatan agar pelaksanaan projek pembangunan dapat dijalankan dengan lancar.
“Penurunan kuasa menandatangani surat setuju terima (SST) dan kontrak bagi semua projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta juga mestilah dari Kementerian Kewangan Sabah dan tidak lagi daripada Menteri di Kementerian Pelanggan,” katanya.
Shahelmey merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penurunan kuasa projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada kerajaan negeri.
“Saya percaya peruntukan pembangunan bernilai sehingga RM50 juta ini dapat dilaksanakan dengan pantas dan efisien,” katanya.