Salah tanggapan, kefahaman lambatkan pelaksanaan Projek Karbon Kredit – Jeffery

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan melihat kelewatan pelaksanaan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA – Nature Conservation Agreement) di Sabah sebagai kegagalan umum dalam pelbagai pihak untuk memahami perbezaan antara modal dan perdagangan karbon.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah itu berkata ramai yang tidak memahami definisi modal alam dan masih menentang NCA.

“Sesetengah orang, pegawai kita sendiri dalam kerajaan tidak biasa dengan maksud modal alam semula jadi. Kerana mereka kurang pemahaman, maka mereka tidak mahu kita teruskan, jadi kita akan menanganinya (salah faham) secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ada yang beranggapan bahawa mineral dan perlombongan termasuk sebagai modal semula jadi sehingga menambahkan kebimbangan mereka.

“Kita tidak mahu memusnahkan alam sekitar, kita perlu mengumpul dana untuk negeri. Kita tidak mempunyai wang yang cukup dan kita tidak mahu memusnahkan alam sekitar.

“Sesetengah orang masih berfikiran sempit dan perlu diberi kefahaman,” katanya.

Jeffery percaya bahawa wujud pihak yang lebih berminat untuk membalak dan masih mahu mensabotaj atau menggagalkan perjanjian itu.

Jelasnya, perdagangan karbon secara khususnya menangani pelepasan gas rumah hijau dan pelaburan dalam modal alam semula jadi.

“Ia melibatkan usaha pemuliharaan, pemulihan dan pengurusan yang mampan.

“Manakala pelaburan dalam pusat perdagangan karbon adalah untuk memperoleh permit atau kredit pelepasan untuk memberi insentif kepada pengurangan pelepasan,’ katanya.

Jeffery menegaskan bahawa projek itu akan memberi manfaat kepada negeri.

Katanya projek perintis itu akan melibatkan hanya 600,000 hektar, dan sebahagian daripadanya di Hutan Simpan Nuluhon Trusmadi.