JOHOR BAHRU: Di sebalik balas-membalas antara Bersatu dan Umno, Naib Presiden Datuk Seri Khaled Nordin tidak melihat parti serpihan itu sebagai pesaing pada pilihan raya negeri (PRN) Johor kelak.
Sebaliknya, bekas Menteri Besar Johor itu dalam temubual FMT berkata saingan Barisan Nasional di Johor adalah Pakatan Harapan.
“Bersatu tidak mempunyai struktur dan mekanisme sebagai sebuah parti akar umbi, walaupun presiden mereka, Muhyiddin Yassin, datang dari Umno. Mungkin atas sebab itu dia umum mungkin tak akan bertanding,” katanya.
“Bagi Umno-BN kemungkinan saingan kita adalah dari PH. Meskipun begitu, saya percaya, walaupun Bersatu tak begitu kuat…wakil Bersatu dalam kerajaan akan guna segala kelebihan…bagi bersaing dengan BN dalam PRN akan datang.”
Khaled berkata keyakinan Umno-BN dalam menghadapi PRN kali ini terbit daripada prestasi yang ditunjukkan PH dan Perikatan Nasional sepanjang kedua-dua gabungan itu memerintah Johor.
Keupayaan PH mentadbir terutamanya boleh diragukan, tambah Khaled.
“Dalam masa dua tahun mereka tukar dua Menteri Besar…mereka gagal.” katanya dalam laporan FMT hari ini.
Namun begitu, Umno melangkah kelak dengan kesedaran bahawa tiada jalan mudah bagi BN berhadapan PRN kali ini.
“Dari segi demografi, khususnya pengundi 18 tahun dan pengundi automatik, tak ada mana-mana parti tahu bagaimana mereka akan mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Khaled berasa lucu dengan dakwaan PRN Johor berlaku atas desakan sekumpulan pemimpin Umno yang digelar “kluster mahkamah”.
Sebaliknya, PRN kali ini disebabkan oleh kedudukan kerajaan yang tidak kukuh dengan kelebihan satu kerusi sahaja.
“Pada masa sama soal keabsahan, kerana kerajaan itu wujud melalui percaturan politik. Dia tak ada mandat. Jadi baik kita balik kepada rakyat, serah kepada rakyat,” katanya.
Khaled menyifatkan keadaan yang mana kerajaan sentiasa terpaksa berunding dan memberikan sesuatu kepada wakil-wakil rakyat lain agar apa sahaja yang diusahakan dipersetujui dan disokong sebagai “tidak sihat” dan “tidak produktif”.
“Kerajaan dengan satu majoriti tertakluk kepada ugutan,” tegasnya.
Ditanya apakah kes rasuah membabitkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi akan menjejaskan peluang Umno pada PRN nanti, Khaled berkata sokongan kepada BN dan mana-mana parti lain sebenarnya bergantung kepada prestasi masing-masing.
Malah, kes Zahid nampaknya tidak ada kena-mengena dengan prestasi BN pada PRN Melaka tempoh hari.
“Rakyat boleh beza antara prestasi parti dengan (kes) presiden yang merupakan perkara peribadi beliau,” katanya.
Dewan Undangan Negeri Johor bubar pada Sabtu. Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada 9 Feb untuk menentukan tarikh PRN.