KOTA KINABALU : Kerajaan negeri memberikan jaminan bahawa tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan merujuk kepada kenyataan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar di akhbar tempatan pada 3 Januari 2025 bertajuk ‘Mufti Sabah sokong hukum sebat di khalayak ramai’.
Katanya, antara lain, beliau menyokong pelaksanaan hukuman itu kerana ia mengikut syariat Islam.
“Kerajaan negeri ingin memaklumkan bahawa kenyataannya merupakan pendapat serta pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan Takzir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Arifin merupakan merangkap Exco Agama berkata, Takzir merupakan hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak.
“Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di negeri Terengganu, baru-baru ini.
“Sabah merupakan negeri yang unik, terdiri daripada berbilang kaum dan agama, serta keharmonian agama, toleransi dan persefahaman menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni,” jelas Mohd Arifin.
Menurutnya, kerajaan negeri berharap isu ini tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak, sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni.