Sabah terus maju dan makmur di bawah naungan TYT baharu – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan terus berusaha dan berikhtiar untuk memajukan Sabah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau yakin Sabah akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran di bawah naungan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman.

Katanya, seluruh pemimpin serta rakyat diminta untuk saling bekerjasama, berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacukan pembangunan negeri Sabah yang tercinta.

“Sesungguhnya, Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selama-lamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah,” katanya.

Beliau

Hajiji berkata, beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif dicapai sejak lebih empat tahun lalu untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Menerusi pelan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik dan kita telah berjaya mengutip hasil hampir RM7 bilion pada tahun 2024.

“Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang. Pencapaian ini adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan,” jelas Hajiji.

 Menurutnya, kerjasama padu antara sektor awam dengan sektor swasta sejak beberapa tahun ini menghasilkan impak positif dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

“Perkembangan yang memberangsangkan ini adalah sejajar dengan hala tuju yang dilancarkan hampir empat tahun yang lalu.

“Kesejahteraan rakyat juga tetap menjadi agenda utama kerajaan, justeru pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar, khususnya golongan miskin dan miskin tegar,” kata Hajiji.

Hajiji turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Musa Aman, sebagai Tuan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.