Sabah perlu pertahankan kepelbagaian perayaan bangsa dan agama – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah perlu mempertahankan amalan berkongsi serta meraikan semua perayaan tanpa mengira bangsa dan agama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keunikan ini menjadikan rakyat di negeri ini menjadikan Sabah sebagai contoh dalam kongsep ‘Keluarga Malaysia.’

Katany, seperti sambutan Pesta Kuih Bulan juga dikenali Perayaan Pertengahan Musim Luruh,  disambut masyarakat Cina turut dimeriahkan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.

“Amalan kongsi raya atau pesta kebudayaan semua kaum untuk perayaan seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas merupakan keunikan kita di Sabah yang harus dipertahankan sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Sambutan Pesta Kuih Bulan ini walaupun diraikan masyarakat Cina tetapi ia turut dimeriahkan oleh masyarakat lain sekali gus dapat menyatupadukan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

“Amalan seperti ini perlu terus dilakukan demi keutuhan perpaduan serta keamanan negara secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Pesta Kuih Bulan 2022 di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri  Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri Sabah terus memberi sokongan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama untuk meraikan perayaan serta kebudayaan masing-masing di negeri ini.

Menurutnya, suasana seperti ini mesti dikekalkan agar rakyat terus bersatu padu tanpa mengira perbezaan sebagai keluarga Malaysia.

“Kita hidup dalam lingkungan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya bukannya baru malah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Inilah kekuatan dan keunikan negeri Sabah. Kerajaan akan terus menjaga kebajikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama serta memastikan hubungan erat dan perpaduan semua kaum di Sabah dipertahankan.

“Dalam beberapa hari lagi, kita akan meraikan Hari Malaysia yang ke-59 dan saya berharap semangat patriotism dalam kalangan rakyat Malaysia di Sabah akan terus diperkukuhkan dan pesta ini mampu memantapkan lagi perpaduan,” katanya