Sabah kutip hasil sebanyak RM3.83 bilion – Hajiji

KOTA KINABALU: Memasuki ulang tahun pertama pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini, Sabah berjaya mengutip hasil negeri yang cukup memberangsangkan dengan RM3.83 bilion pada tahun ini.

Lapor Utusan Malaysia, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kutipan hasil itu mencapai 120 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan.

“Sejak GRS mengambil alih tampuk pemerintahan, Sabah menerima RM1.25 bilion bagi pembayaran cukai jualan produk petroleum iaitu RM177.88 juta pada tahun lalu dan RM1.07 bilion dikutip setakat Ogos tahun ini.

“Tahap kewangan kerajaan yang kukuh antara pemboleh daya untuk mencapai objektif pembangunan di Sabah,” katanya semasa Majlis Setahun Kerajaan GRS bersama rakyat, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha mencari sumber pendapatan baharu sebagai tambahan kepada sumber-sumber sedia ada melalui strategi percukaian, aktiviti penjanaan hasil dan pertumbuhan ekonomi bagi memastikan kerajaan mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi,

Beliau berkata, dari segi kutipan pembayaran dividen daripada badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setakat ini sebanyak RM25.72 juta.

Jelas beliau, tahun ini kerajaan negeri menyasarkan RM100 juta kutipan dividen pada tahun ini dan sasaran itu dijangka dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

Pada majlis sama, Hajiji turut melancarkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang akan membantu kerajaan negeri dalam menggerakkan agenda kebajikan untuk membantu membangunkan tahap sosioekonomi rakyat ke arah masyarakat yang sejahtera.

Penubuhan Yayasan ini selaras dengan haja tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lalu.

Yayasan ini akan memperkasa kerjasama antara kerajaan dengan NGO, korporat dan swasta serta badan-badan lain yang bersedia untuk mencari dana dan menyalurkan sumbangan kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas.

Dalam majlis itu, Hajiji, yang juga Pengerusi Pemegang Amanah YKS turut menerima sumbangan dana sumbangan GLC dan syarikat swasta yang berjumlah RM12.1 juta.