Sabah harap pindaan RUU Ordinan Buruh Sabah disokong semua Ahli Parlimen

KOTA KINABALU : Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Ordinan Buruh Sabah dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal Keempat Oktober ini mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Hajiji Noor berkata, RUU Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan pertama Menteri Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai lalu.

Katanya, beliau berharap bacaan kali kedua pindaan RUU ini dijadualkan pada sesi persidangan Parlimen depan akan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.

“Saya amat yakin dengan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) ini akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di negeri Sabah.

“Ini dengan panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri yang lebih harmoni dan kondusif,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri memberi persetujuan sepenuhnya kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan tersebut adalah berkaitan dengan isu human rights dan labour rights.

“Ini merupakan penghapusan diskriminasi yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

“Ia selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan amalan buruh paksa di negeri ini.

“Kedudukan Sabah berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah,” kata Hajiji.