Sabah teliti menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 – Ellron

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri Sabah akan meneliti sekali gus mempertimbangkan semula cadangan untuk menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, keputusan ini dibuat  secara sebulat suara ahli mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek.

Katanya, berkaitan cadangan awal Sabah menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027, ia masih memerlukan persetujuan Jemaah Menteri.

“Semalam, kami telah bersetuju bahawa Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula cadangan tersebut.

“Kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk mendapatkan perincian lanjut cadangan penganjuran bersama Sukan SEA 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ellron berkata, beliau akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secepat mungkin untuk membincangkan serta memperjelaskan perkara ini secara terperinci.

“Hasil perbincangan dan maklumat terperinci berkaitan penganjuran akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri Sabah.

“Setakat ini kerajaan negeri sangat menyambut baik hasrat kerajaan persekutuan untuk menganjurkan temasya ini dan akan memberikan sokongan penuh serta bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan Sukan SEA 2027 nanti, jelas Ellron.