Sabah Electricity terima RM161.7 juta subsidi ICPT 2024 dari Kerajaan Persekutuan – Madius

KOTA KINABALU: : Sabah Electricity menerima bayaran subsidi berjumlah RM161.7 juta bagi menampung Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) tahun 2024. 

Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pembayaran itu diterima daripada Kerajaan Persekutuan pada 23 Disember lalu.

Katanya, jumlah  itu merupakan bayaran bagi menggantikan semula wang dibelanjakan Sabah Electricity bagi menampung kos ICPT.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana prihatin mendengar keperluan di Sabah.

Selain daripada itu permohonan kita dilulukskan sekali gus membolehkan Sabah Electricity terus dapat beroperasi membekalkan bekalan tenaga di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Madius merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah yang juga memperuntukkan subsidi ICPT sebanyak RM50.9 juta kepada Sabah Electricity.

“Seperti diumumkan Ketua Menteri pada 20 Disember 2024, pengecualian surcaj ICPT dipersetujui untuk diteruskan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 30 Jun 2025. 

“Kerajaan Sabah memperuntukkan 50.9 juta untuk membantu meringankan beban pengguna. Selaku Pengerusi Sabah Electricity mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Kerajaan Sabah atas keprihatinan dan pemberian subsidi ini,” jelasnya.