Sabah berpotensi bangunkan sosio ekonomi melalui wakaf – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi besar dalam membangunkan ekonomi dan sosial masyarakatnya melalui perancangan projek pembangunan harta wakaf.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata, untuk itu pembangunan harta wakaf di Sabah perlu dipelbagaikan dan dikembangkan dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat membangunkan komuniti Islam secara komperhensif.

“Ia kerana wakaf memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai tujuan sosial, agama dan pendidikan. Sebenarnya, wakaf adalah salah satu sumber ekonomi dan pembangunan sosial umat Islam.

“Malah, transaksi wakaf telah memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan ekonomi umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Wakaf dan Zakat serta Pelancaran Wakaf Tunai Kesihatan dan Klinik Bergerak Pertama Waqaf An-Nur – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Dewan Tun Sakaran, Raia Hotel, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan kepada MUIS untuk terus memperkukuh pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf dengan memberikan penekanan terhadap kerjasama dan keterlibatan bersama pelbagai pihak pemain industri wakaf di Malaysia.

“Ini termasuklah daripada agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri, entiti perniagaan korporat yang ingin sama-sama menyumbang kepada usaha ke arah menjadikan Sabah sebagai negeri mesra dan celik ibadah wakaf menjelang 2030,” katanya.

Hajiji berkata, wakaf terus berkembang dengan hebatnya pada zaman kegemilangan Islam sehingga wujudnya begitu banyak universiti, sekolah, hospital dan fasiliti awam lain yang dibina berasaskan kaedah dan model wakaf.

Beliau berkata, antara yang termasyhur adalah Universiti Al-Azhar yang dibangunkan dan diurus dengan menggunakan wakaf secara keseluruhannya.

Sehingga ke hari ini, katanya, kesinambungan pembangunan wakaf semakin pesat berkembang dan berlangsung dengan jayanya di serata negara Islam.

Menurutnya, di Sabah MUIS adalah pemegang amanah tunggal bagi semua hartanah wakaf dan Rang Undang-Undang Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) 2018 menyatakan dengan jelas di bawah Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan bahawa MUIS adalah pemegang amanah tunggal bagi semua jenis mawquf.

Dalam pada itu, Hajiji juga mengucapkan tahniah kepada Waqaf An-Nur Corporations dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad kerana menyokong inisiatif pembangunan wakaf kesihatan di Sabah menerusi termeterainya usaha sama antara MUIS, Waqaf An-Nur dan KPJ Sabah Specialist Sdn Bhd bagi mewujudkan Klinik Bergerak Pertama Waqaf An-Nur – MUIS di Sabah.

Katanya, klinik bergerak itu adalah sumbangan wakalah (wakil) zakat perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berharap perkhidmatan klinik itu bukan hanya di sekitar Kota Kinabalu, sebaliknya turut diperluaskan ke daerah lain di Sabah, agar lebih ramai akan menerima manfaatnya.