Sabah akan menjadi antara negeri teratas dalam tempoh lima tahun

TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yakin Sabah boleh menjadi antara negeri teratas dalam negara dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

“Apa yang penting ialah perancangan untuk membantu dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga Mukim Tambalang di Masjid As-Sajdin di sini pada Ahad.

Hajiji bersalaman dengan tetamu hadir di majlis petang tadi.

Hajiji yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman juga mahu Tuaran menjadi model terbaik perpaduan dan dari segi menyokong penuh Kerajaan Negeri sekarang.

“Saya mahu Tuaran menjadi contoh terbaik dalam memberi sokongan padu kepada Kerajaan Negeri sekarang,” katanya.

Beliau mengulangi gesaan agar rakyat tidak terpedaya dengan berita palsu dan fitnah pembangkang yang memperlekehkan Kerajaan Negeri. Pada bulan Ramadan, Menteri Besar berkata jadual padat tetapi akan meluangkan masa untuk bertemu rakyat dan berbuka puasa bersama.

“Esok (Isnin) saya akan ke Pulau Pinang untuk berbuka puasa bersama 1,400 pelajar tajaan Yayasan Sabah,” katanya.

Hajiji juga menyeru orang ramai mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan dan silaturahim sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

“Janganlah kita lupa tentang mereka yang kurang bernasib baik juga,” katanya.

Dalam majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan kepada 728 penerima dari 21 kampung di Mukim Tambalang.

Turut hadir Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Abdul Kassim Razali.