KUALA LUMPUR: Undang-undang berhubung anti lompat parti akan dibentang pada 27 dan jika tiada halangan akan digulung keesokan harinya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata Rang Undang-Undang (RUU) berhubung peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti itu juga, telah menjalani banyak sesi libat urus sejak Januari lepas, sekali gus sudah lazim diketahui dalam kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, corak bagi RUU itu juga berlainan jika dibandingkan dengan undang-undang sedia ada, berikutan ia dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas dan dicetak oleh pihak Parlimen, dan bukannya dibuat dari kamar Jabatan Peguam Negara.
“Jadi saya nak jelaskan di situ, prosedur RUU itu sendiri, semua Ahli Parlimen sudah tahu. Insya-Allah, pada 27 ia akan dibahas dan pada 28 petang, jam 2.30, insya-Allah saya akan menggulungnya.
“Kalau tiada halangan, Ahli Parlimen setuju (dengan RUU itu), kita akan dapat menamatkan dan menyelesaikan perkara itu sebelum pukul 5.30 petang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis anugerah Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021 di sini, hari ini.
– BERNAMA