RM1.5 juta diluluskan kepada persatuan wanita di Sabah- Hajiji

KOTA KINABALU: Sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan kepada persatuan wanita serta badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi melaksanakan aktiviti memberi manfaat kepada pembangunan wanita di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan itu sebagai tanda sokongan daripada kerajaan dalam menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

Katanya, peruntukan akan diselaraskan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk disalurkan kepada persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri ini.

“Kita sememangnya memperakui pentingnya peranan serta sumbangan kaum wanita dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

“Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran serta arena politik,” katanya di sini semalam.

Teksnya disampaikan Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA dan RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), untuk melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita.

“Saya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan idea baharu, ke arah memperkasakan penyertaan dan pembangunan kaum wanita di Sabah.

“JHEWA sebagai agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan menangani hal ehwal wanita, diharapkan terus melaksanakan program pembangunan wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, ramai dalam kalangan wanita pada hari ini sudah seiring dengan pencapaian golongan lelaki, termasuk berjawatan tinggi dalam pasukan keselamatan negara; jawatan yang suatu ketika dahulu hanya dimonopoli oleh lelaki.

“Tidak kurang juga ramai yang menjadi doktor, peguam, jurutera, termasuklah menceburi kerjaya sebagai juruterbang dan angkasawan.

“Ini jelas membuktikan bahawa wanita juga adalah pemangkin kepada kecemerlangan negara, selaras dengan aspirasi Masyarakat Madani,” kata Hajiji.