Ribuan penduduk Putatan, Penampang terjejas akibat notis singkat gangguan bekalan air – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU :  Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed mempersoalkan tindakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan notis singkat berkaitan tempoh catuan bekalan air di kawasan Putatan dan Penampang  berkuatkuasa 10 hari bermula hari ini.

Katanya, mengapa baharu semalam  JANS memaklumkan mengenai catuan ini sedangkan ribuan penduduk sekitar kawasan berhampiran terjejas sekali gus tidak sempat membuat persiapan berkaitan bekalan air ini.

“Catuan selama 10 hari ini merupakan satu tempoh masa yang sangat lama….Sudah tentu penduduk tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persediaan untuk menyimpan bekalan air yang secukupnya.

“Seperti apa yang saya perkatakan  baru-baru ini, JANS perlu membuat permakluman awal bagi membolehkan penduduk terjejas membuat persiapan awal lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan.

“Kalau susah memaklumkan kepada penduduk yang terjejas kenapa tidak menggunakan agensi seperti  Pejabat Daerah, Majlis Daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Ketua Daerah bagi menyalurkan memaklumkan awal kepada penduduk agar mereka dapat membuat persiapan menyimpan bekalan air,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jeffrey Nor merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata,  ramai penduduk menghubunginya dengan mengadu masalah bekalan air ini sekali gus bertanya apa tindakan Jabatan Air bagi mengurangkan kesan catuaan ini.

“Jika boleh Jabatan Air memberikan jadual menyalurkan bantuan air kepada penduduk terjejas. Jangan biarkan mereka mengalami masalah ini dengan begitu sahaja.

“Kita berharap di masa akan datang Jabatan Air perlu membuat makluman awal agar penduduk di kawasan terjejas terutama di Putatan dan Penampang,” jelas Jeffrey Nor.