Rentas daerah tak dibenar di Sabah: Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Rentas daerah tidak dibenarkan di Sabah mulai 10 hingga 16 Mei, termasuk antara zon yang ditetapkan sebelum ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun, berkata keputusan itu adalah sementara bagi mengawal pergerakan orang ramai sempena cuti Aidilfitri dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Kerajaan negeri memutuskan aktiviti rentas daerah tidak dibenarikan mulai 10 hingga 16 Mei kecuali atas urusan kecemasan.

“Dalam tempoh itu juga, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah.

“Polis akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal pergerakan rentas daerah sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam laporan portal online FMT.

Sementara itu, Masidi berkata, ziarah Hari Raya dibenarkan namun hanya dalam kalangan ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang.

Katanya, ziarah itu juga hanya dibenarkan dalam lingkungan daerah sama selain tertakluk kepada saiz kapasiti rumah.

“Lain-lain aktiviti dibenarkan ketika Hari Raya ialah takbir di masjid dan surau, solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau, dan jamuan selepas solat di masjid dan surau dengan syarat penyediaan makanan secara berbungkus dan diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

“Selain itu, ziarah tanah kubur ketika Hari Raya juga dibenarkan namun tidak melebihi enam orang dalam satu lot kuburan dan had masa tidak melebihi 30 minit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penganjuran majlis Hari Raya dan rumah terbuka tidak dibenarkan manakala semua aktiviti perayaan dilarang di lokaliti perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

SabahNewsToday

Leave a Reply