RCKK Pearl sumbang RM3,000 berupa barang harian kepada Rumah kebajikan Jireh Tuaran

KOTA KINABALU: Seramai 27 kanak-kanak kurang berkemampuan dari Rumah Kebajikan Jireh, Tuaran menerima sumbangan bantuan makanan berjumlah RM3,000 disumbangkan Pengerusi Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl), Eliza Goh.

Sumbangan tersebut merangkumi beberapa keperluan asas makanan harian serta peralatan pembersihan yang disampaikan kepada Pengerusi Rumah Kebajikan Jireh, Tuaran, Wong See Kiet bertempat di Zara’s Boutique Hotel di sini semalam.

Goh yang akan mengakhiri perkhidmatannya pada sesi 2020 – 2021 menyifatkan sumbangan tersebut sebagai tanggungjawab sosial RCKK Pearl dalam meringankan beban bagi mengurus keperluan kanak-kanak di Rumah Kebajikan Jireh Tuaran.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih atas sumbangan diperolehi daripada Gereja LDS bagi membolehkan kelab mencapai matlamat untuk menyalurkan sedikit dana bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Penyerahan bantuan disaksikan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Rumah Kebajikan Jireh, Tuaran rumah, Datin Dr Molly Mathew manakala Elder Jared Ling mewakili Gereja LDS.

Goh memuji tindakan Pengerusi Rumah Kebajikan Jireh, Tuaran Wong See Kiet selepas bertindak segera apabila mengetahui kekurangan keperluan asas di rumah berkenaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bekalan barangan keperluan dapur Rumah Kebajikan Jireh, Tuaran berkurangan akibat penularan wabak berjangkit COVID-19 yang berpanjangan termasuk penutupan dan sekatan yang dilaksanakan di negeri ini.

“Sebenarnya, kelab menggandakan permintaan kami untuk menghantar bekalan makanan bulanan dan di hantar kurang daripada tempoh seminggu. Ini sememangnya merupakan berkat yang sangat bermakna kepada Rumah Kebajikan Jireh, Tuaran,” katanya.