Rakyat Sabah menantikan pelaksanaan sepenuhnya 21 perkara – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) menekankan supaya keputusan pemindahan kuasa kawal selia gas kepada Sabah akan disusuli dengan pelaksanaan 21 perkara yang dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan jemaah menteri berhubung pemindahan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri.

Katanya, ini merupakan keputusan yang sangat dinantikan penduduk di Sabah ketika diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

“WARISAN melahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap aspirasi, keinginan serta impian penduduk Sabah selama ini.

“Semoga berita baik ini disusuli dengan pelaksanaan 21 perkara yang dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu.

“Setakat ini, 17 daripada 21 perkara mendapat persetujuan bersama antara kerajaan Persekutuan PH lalu dan kedua-dua kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shafie merupakan Ahli Parlimen Semporna berkata, empat perkara lain yang belum dimuktamadkan adalah isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak negeri ke atas pelantar benua.

Shafie berkata, WARISAN yakin penduduk Sabah akan menghargai dan amat berterima kasih sekiranya kesemua 21 perkara itu dapat dilaksanakan.