Rafizi lancar petisyen bantah PRU pada musim banjir

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli melancarkan petisyen membantah pilihan raya umum (PRU) diadakan pada musim tengkujuh.

Petisyen itu menurut Rafizi dilancarkan ketika UMNO meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.

Rafizi dalam kenyataan menerusi Twitter berkata jika Parlimen dibubarkan sebulan dari sekarang, pilihan raya akan diadakan pada musim tengkujuh.

“PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

“Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.

“Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya,” katanya.

Rafizi menyeru orang ramai menandatangani petisyen itu dan menyebarkannya ke saluran masing-masing.

Bekas ahli parlimen Pandan itu turut menyorot bahawa semua laporan ramalan cuaca meramalkan banjir akan menjadi lebih teruk tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Malah sebelum musim tengkujuh tiba, banjir kilat telah berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami banjir teruk.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendabik dada bahawa Umno sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

“Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” katanya.

Kenyataan Zahid pada 17 September bahawa BN bersedia untuk berkempen bagi PRU15 walaupun ia diadakan pada musim tengkujuh telah dikecam oleh pembangkang.

Ahli politik dari parti kerajaan turut berkongsi pandangan bahawa adalah tidak bijak untuk mengadakan PRU semasa musim tengkujuh.

Bagaimanapun, Zahid mendakwa banjir itu adalah ‘naratif dan mitos’ yang diputar belit oleh pembangkang bagi mengelak PRU15 diadakan tidak lama lagi.