KOTA KINABALU : Pulau Gaya mempunyai potensi besar dibangunkan sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di negeri Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan akan memikirkan satu kawasan perkampungan baharu untuk menempatkan semula setinggan mereka di kawasan tanah besar.
Katanya, Pulau Gaya mempunyai daya tarikan utama sebagai produk pelancongan baharu bagi mencapai hasrat tersebut di masa depan.
“Kawasan perumahan setinggan di sini kita akan susun semula kemungkinan akan menempatkan mereka untuk memperoleh rumah yang akan dibina oleh Kerajaan nanti di tanah besar Sabah.
“Pelancong datang di Kota Kinabalu, sudah tentu akan melihat kawasan keadaan persekitaran Pulau Gaya yang tidak tersusun sudah tentu akan mencemarkan imej usaha menarik kehadiran pelancong kerana banyak setinggan di kawasan ini,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, Pulau Gaya juga mempunyai kualiti untuk menjadi tarikan pelancong yang baik namun persekitaran setinggan yang tidak tersusun menyebabkan kegagalan ke arah usaha tersebut.
“Pulau Gaya mempunyai tempat istimewa dalam sejarah kita dan ia terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan menaiki bot dari Ibu Negeri. Kita perlu memanfaatkan perkara ini,” katanya.
Beliau turut berkata, Pejabat Parlimen turut bercadang untuk membina Klinik Kesihatan di pulau itu.
“Apa yang penting penduduk di sini terus mengekalkan perpaduan, keselamatan dan kebersihan,” katanya