KOTA KINABALU: Kadar kenaikkan harga tambang penerbangan membebankan orang ramai untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), khususnya di negeri Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Kementerian Pengangkutan perlu campur tangan bagi memastikan pengendali syarikat penerbangan menurunkan kadar tambang dalam tempoh terdekat.
Katanya, tanpa campur tangan kementerian, ramai rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung berdepan kesukaran untuk pulang mengundi dan begitu juga rakyat Semenanjung di kedua-dua negeri turut berdepan situasi sama.
“Situasi itu sesuatu yang merugikan negara, terutama golongan yang dijangka paling ramai terjejas akibat kadar tambang pesawat yang mahal ialah pengundi muda atau Undi18 dalam kalangan pelajar.
“Semakan mendapati tambang pergi balik syarikat penerbangan khususnya di antara Sabah dengan Semenanjung menunjukkan kadar yang semakin tinggi menjelang dua tiga hari sebelum hari mengundi pada 19 November depan.
“Bukan itu saja, kadar tambang jika balik sebelum akhir bulan ini dan kembali selepas hari mengundi juga adalah tinggi, malah ada yang mencecah hingga RM800,” katanya dalam laporan BH online hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan perlu diambil berhubung rungutan pelajar Sabah di Semenanjung yang berdepan halangan untuk pulang mengundi disebabkan tiket penerbangan yang mahal.
Bung Moktar berkata, jumlah itu sangat besar bagi golongan perantau, khususnya pelajar dan sudah pasti melemahkan semangat mereka untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November depan.