Projek solar: Rosmah gagal gugurkan Sri Ram, batal perbicaraan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion terhadapnya.

Laporan Berita Harian menyebut Mahkamah sama turut menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakiman berkata, kuasa yang diberi oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk mengendalikan pendakwaan dalam kes membabitkan pemohon adalah sah mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah (CPC) di dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya.

“Mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan) yang pertama atau pelantikan Sri Ram.

“Ini kerana mahkamah berpendapat bahawa pelantikan mengikut Seksyen 376(3) CPC adalah sah,” katanya.

Sementara itu, berhubung isu sama ada pelantikan Sri Ram adalah retrospektif, Mohamed Zaini berkata, perkara itu digariskan dalam Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan pemohon.

Sebaik mendengar keputusan itu, Datuk Jagjit Singh memohon penangguhan prosiding perbicaraan kes di peringkat pembelaan pada 5 Oktober ini sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Ahmad Akram, berhujah bahawa penangguhan untuk rayuan yang akan difailkan kemudian bukanlah satu alasan.

“Sebaliknya, pemohon perlu menunjukkan terdapat keadaan istimewa untuk dibenarkan penangguhan,” katanya.

Mahkamah kemudian menolak permohonan penangguhan prosiding perbicaraan.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lalu membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lalu dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini iaitu Tan Sri Idrus Harun.

Pada 18 Februari 2021, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri terhadap semua tiga pertuduhan.

Kes terhadap Rosmah, berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak kini di peringkat bela diri.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.