KOTA KINABALU : Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Projek Penyewaan Powership 224 megawatt (MW) sebagai projek fast track bagi menangani isu jidar simpanan kritikal telah dibatalkan.
Menurut beliau, projek dengan tempoh penyewaan lima tahun (2023 – 2028) itu telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tariff (JPPPET) Sabah pada 12 Jun lepas.
Katanya, proses seterusnya adalah rundingan perjanjian Power Purchase Agreement (PPA) di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Karpowership Global di bawah penyeliaan Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia.
“Tetapi proses rundingan itu tidak dapat mencapai persetujuan oleh kedua-dua pihak. Pihak Lembaga Pengarah SESB telah berkeputusan untuk menamatkan proses rundingan pada 15 September lepas melalui surat makluman kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Karpowership Global,” katanya pada penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 Negeri Sabah di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurut Nizam mesyuarat susulan mengenai keputusan itu telah diadakan di antara Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali, ECoS, SESB dan ST pada 20 September lepas yang telah memutuskan pembatalan projek itu (untuk diselaraskan di dalam mesyuarat JPPPET Sabah) dan menyokong pelan alternatif oleh SESB dan ECoS.
Katanya, pelan alternatif bagi menggantikan projek itu antaranya meneruskan pelan interim iaitu penyewaan diesel genset berkapasiti 100MW yang akan dilanjutkan operasinya sehingga tahun 2025, berbanding perancangan asal iaitu untuk tempoh enam bulan sahaja.
Selain itu, katanya pelan alternatif juga melibatkan Projek Pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100MW yang akan diawalkan operasinya kepada tahun 2024, berbanding perancangan asal iaitu tahun 2026.e
Pelan alternatif lain termasuk pihak ECoS akan memperhalusi dan menyelaraskan perubahan Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) melalui mesyuarat JPPPET Sabah (atau Majlis Tenaga Sabah) pada awal tahun hadapan setelah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik.