BELURAN : Pihak polis menafikan video tular yang didakwa berkaitan dengan kes culik di Pusat Pemeriksaan Dataran (RCP) Sapi Nangoh, pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda berkata, video berkenaan yang memaparkan sebuah kenderaan cuba untuk melarikan diri dari pemeriksaan pihak polis yang didakwa terlibat dalam kes culik itu adalah tidak benar.
“Ketika kejadian kereta berkenaan telah melarikan diri menuju ke arah Kota Kinabalu semasa pemeriksaan sedang dijalankan di RCP Sapi Nangoh sebelum ditahan oleh pihak polis.
“Suspek yang menaiki kereta itu merupakan lelaki warga tempatan yang kemudiannya bertindak cuba melarikan diri daripada sekatan jalan anggota polis ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.
Katanya, suspek kemudiannya berjaya diberkas pada hari yang sama di tempat kejadian selepas suspek berpatah balik untuk menyerah diri.
“Tangkapan yang dijalankan kira-kira pukul 5 petang itu turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Aruz berwarna hitam dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
“Suspek turut disyaki mengambil dadah dan ujian saringan air kencing akan dijalankan,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 18 saat di aplikasi WhatsApp yang memaparkan pasukan keselamatan sedang menahan sebuah kenderaan yang cuba melarikan diri.
Turut tular, dua rakaman suara di aplikasi sama yang menyatakan kejadian itu melibatkan seorang ibu dan anak yang dilarikan bersama kenderaan.