Program baharu Sabah Malaysia Rumah Keduaku akan dibentang di DUN – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membentangkan semakan semula program Sabah Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H) di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata program itu diubah suai semula untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada warga asing yang mahu memiliki rumah di negeri ini.

Katanya, kemasukan bakat dan kepakaran luar
mampu memberi manfaat kepada negeri ini, khususnya melalui program SMM2H yang dilaksanakan kerajaan.

“Program itu akan dibentangkan di DUN dalam masa terdekat. Kita berharap untuk melihat bakat bernilai tinggi termasuk dari Korea Selatan untuk berpindah ke Sabah,” katanya pada pembukaan rasmi Konsulat Republik Korea di Kota Kinabalu di Plaza Shell, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya serta Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae.

Ketika ini, katanya kira-kira 2,000 warga Korea Selatan menjadikan Sabah sebagai rumah kedua dengan kebanyakan mereka tinggal di ibu negeri.

Beliau berkata, walaupun jumlah itu kecil, kerajaan negeri berbesar hati dengan penyertaan aktif mereka dalam aktiviti ekonomi negeri ini.

“Secara kolektif mereka membuat impak yang begitu signifikan, memandangkan ramai memilih untuk tinggal di sini dan membawa kekayaan serta kepelbagaian pengalaman dan kemahiran,” katanya.

Hajiji berkata, pembukaan Konsulat Kotea di negeri ini adalah langkah signifikan dalam peluasan diplomatik Korea Selatan dan jaringan konsulat ke arah membina dan mengukuhkan hubungan wilayah serta global.

Katanya, Malaysia dan Korea Selatan mempunyai hubungan kerjasama selama enam dekad susulan pembentukan hubungan diplomatik pada 1960.

Pada tahun lalu, Korea Selatan menjadi rakan dagang kelapan terbesar Malaysia, selain destinasi kelapan terbesar eksport negara.

Bagi hubungan perdagangan Korea dengan Sabah, Hajiji berkata ia menunjukkan pertumbuhan yang baik dengan eksport Sabah ke negara itu mencatat RM4 bilion, manakala import Sabah dari negara berkenaan berjumlah RM900 juta pada tahun lalu.

“Apa yang paling berharga setakat ini ialah sudah tentu projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis Korea Selatan yang bernilai RM4.2 bilion, menjadikannya satu daripada pelaburan asing terbesar Sabah.

“Pelaburan bernilai tinggi itu bukan saja menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah tetapi juga memainkan peranan penting dalam memajukan industrialisasi dan peralihan Sabah ke arah ekonomi maju yang akan memberikan manfaat berterusan kepada pemegang taruh Korea Selatan dan wilayah ini,” katanya.

Hajiji berkata, banyak lagi manfaat yang boleh diperolehi Sabah dan Korea Selatan berdasarkan kekuatan masing-masing.

Sementara itu, dalam sektor pelancongan, Hajiji berkata pelancong Korea Selatan adalah antara penyumbang terbesar di negeri ini dengan ketibaan seramai 95,966 orang antara Januari hingga Jun tahun ini.

“Setakat September 2023, Sabah dihubungkan terus dengan dua bandar raya di Korea Selatan, Incheon dan Busan dengan sebanyak 23 penerbangan dan 4,409 kapasiti tempat duduk seminggu,” katanya.

Beliau berkata, Sabah melihat ke hadapan untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Konsulat Republik Korea, khususnya berkaitan perdagangan dan pelaburan, selain bidang lain seperti pertukaran kebudayaan, teknikal dan pendidikan.