PRN Sabah: Warisan yakin memperoleh majoriti mudah tubuh kerajaan- Mohd Shafie

KOTA KINABALU : Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal kekal dengan pendiriannya untuk bertanding solo sekali gus menolak menjalin kerjasama bersama parti-parti persekutuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, rundingan terdahulu bersama parti-parti persekutuan dilihat tidak banyak membantu menyelesaikan isu teras Sabah.

Katanya, jika Warisan memperoleh 37 kerusi beliau akan menghantar surat kepada Yang di-Pertua Negeri.

“Masa itu nanti mesti tiada lompat parti dan saya mahu mengangkat sumpah. Kalau beliau (TYT)  tidak beri saya angkat sumpah, saya akan saman dan bawa beliau ke mahkamah.

“Saya faham undang-undang dan perlembagaan setelah menjadi penggubal undang-undang selama 36 tahun. Kalau saya ada majoriti mudah, saya berhak membentuk kerajaan. Jangan main-main,” katanya di sini semalam.

Mohd Shafie berkata, jika Warisan memperoleh 43 kerusi dan masih dihalang, pihaknya ada kuasa untuk singkirkan Yang Dipertua Negeri.

Sementara itu, dalam majlis sama, Mohd Shafie berkata, Warisan berpotensi besar meraih undi majoriti, mengambil contoh prestasi PRN Sabah 2020 apabila menang 29 kerusi walaupun menyerahkan kawasan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) ketika itu.

“Warisan ketika itu memperuntukkan 14 kerusi kepada UPKO yang hanya menang satu dan tujuh kerusi kepada PKR yang menang dua. Kalau kita bertanding 10 kerusi lagi dan menang semuanya, saya sudah ada 39 kerusi, itu sudah cukup untuk majoriti mudah,” katanya.

Bagaimanapun, kali ini, Mohd Shafie menolak kepentingan rundingan pembahagian kerusi dengan parti politik lain kerana pendekatan itu tidak banyak membantu dalam menyelesaikan masalah utama di Sabah.

“Kalau cakap dengan UMNO, mereka ada 26 kerusi. PKR, mereka ada 23. GRS, mereka ada 14. Adakah itu penting untuk rakyat Sabah? Tidak. Paling penting adalah air, elektrik, pekerjaan dan makanan, bukannya jumlah kerusi.

“Yang akan membuat keputusan ialah rakyat. Kekayaan kita, sistem kita. Kita tidak bergantung kepada mereka yang ada agenda sendiri,” katanya.