PRN Sabah: AirAsia wajar tawar tambang bawah RM300 bantu rakyat Sabah pulang mengundi – Suhaimi

KOTA KINABALU: Ribuan anak Sabah yang bekerja di Semenanjung kini berdepan dilema menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.

Mereka terpaksa menanggung kos penerbangan yang tinggi untuk pulang mengundi.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata walaupun AirAsia baru-baru ini mengumumkan promosi khas ‘Jom Balik Undi’ dengan tambang serendah RM299 sehala,

Katanya, kadar itu masih terlalu tinggi bagi kebanyakan rakyat Sabah, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Dengan harga RM299 sehala, tambang pergi balik Sabah–Semenanjung mencecah hampir RM600 seorang, belum termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang dan perbelanjaan lain.

“Dalam keadaan ekonomi mencabar dan kos sara hidup yang tinggi, mampukah rakyat biasa menanggung jumlah sebesar itu hanya untuk menunaikan tanggungjawab mengundi?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi turut mengingatkan bahawa AirAsia pernah menerima pembiayaan sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) ketika tempoh pandemik COVID-19, yang diluluskan semasa pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini hanya sekitar RM170 juta sahaja telah dibayar balik kepada SDB, bermakna masih terdapat baki besar yang belum dilunaskan kepada institusi kewangan milik kerajaan negeri itu.

“Atas dasar moral dan keadilan sosial, AirAsia wajar menunjukkan rasa tanggungjawab kepada negeri yang pernah membantu mereka bertahan dengan menawarkan tambang khas bawah RM300 pergi balik bagi pengundi Sabah sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.

Suhaimi berkata, langkah itu bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi juga memperlihatkan tanggungjawab sosial korporat dan kepekaan terhadap rakyat yang ingin menunaikan hak demokrasi mereka.

“Kalau dulu dana kerajaan negeri digunakan untuk menyelamatkan syarikat korporat ketika krisis, biarlah kali ini manfaatnya kembali kepada rakyat Sabah yang mahu pulang mengundi,” tambahnya.