PPN Sabah, Sarawak dan Labuan syorkan Zamri dilantik Senator

WP.LABUAN: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar melantik Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Dato Zamri Yaakob sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) mewakili warga peladang seluruh negara.

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, pelantikan pemimpin peladang sebagai Senator amat penting bagi memperjuangkan untung dan nasib warga peladang di negara ini.

“PPN di pulau Borneo yang terdiri daripada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan mencadangkan agar Zamri dapat dilantik sebagai Senator mewakili warga peladang seluruh negara.

“Kami berharap Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap syor tersebut”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labuan Utara yang dipengerusikan oleh Encik Bungso Mohamad di sini, hari ini.

Mohd Nazri optimis, pelantikan Senator mewakili warga peladang akan dapat membantu menangikis persepsi dan pandangan negatif awam bahawa legitimasi Dewan Negara hanya didominasi golongan berkepentingan politik semata-mata.

Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sudah tiba masanya pemimpin peladang dilantik sebagai Senator bagi membawa suara warga peladang di Dewan Negara.

Beliau juga Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Sarawak berkata, kerajaan perlu memberi koata kepada wakil peladang untuk mengisi jawatan Senator.

“Kita mahu masalah yang dihadapi oleh masyarakat peladang di negara ini dapat dibawa dan dibincangkan untuk penyelesaian di peringkat pembuat dasar iaitu Dewan Negara “, katanya.

Sementara Pengerusi PPN Wilayah Persekutuan Labuan, Bungso Mohamad berharap Perdana Menteri akan menerima cadangan tersebut demi kepentingan warga peladang di negara.

Katanya, ramai daripada wakil parti politik telah dilantik sebagai Senator, sementara tiada seorang pun yang mewakili warga peladang dilantik ke jawatan itu.

“Sekiranya Zamri dilantik, sudah pasti beliau dapat menggunakan kepakarannya dalam bidang peladang untuk menyumbang dan menjuarai isu-isu yang melibatkan masa depan golongan peladang. Inilah harapan warga peladang di negara ini”, tegasnya.

Di Malaysia, majoriti rakyat melihat senator hanya berkhidmat kepada parti pemerintah, dan seramai 40 orang Senator dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung berdasarkan Perkara 45(b) atas nasihat Perdana Menteri.

Sementara kuota 20 hingga 30 peratus yang dilantik daripada golongan pakar seperti yang dinyatakan dalam Perkara 45(2), iaitu golongan yang pakar dalam bidang tertentu dan ras minoriti.