PKR tanding PRN Johor guna logo sendiri

PETALING JAYA: PKR akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logonya sendiri, manakala dua sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menggunakan logo gabungan parti pembangkang berkenaan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan pakatan pembangkang berhubung pengagihan kerusi juga sudah selesai dan PH akan bertanding di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), namun terbuka untuk perbincangan dengan parti pembangkang lain di luar gabungan terbabit.

“Logo kita sudah putuskan yang Keadilan (PKR) guna logo Keadilan (PKR), yang lain-lain guna logo PH. Perbincangan kerusi antara PH juga sudah selesai.

“Yang penting kita bertanding di semua 56 kerusi oleh ketiga-tiga parti (komponen) PH, tapi kita masih buka ruang bincang dengan parti pembangkang lain termasuk MUDA,” katanya yang juga Presiden PKR ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PH berhubung PRN Johor di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.