KOTA KINABALU: Seramai 65 pengusaha pelancongan berdaftar dengan Pusat Pelancongan Kadamaian (KATA) Kota Belud mengambil keputusan menutup sepenuhnya operasi masing-masing walaupun kerajaan membenarkan beberapa aktiviti sektor itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden KATA Walter Kandayon berkata semua pengusaha itu telah membuat keputusan untuk tidak beroperasi sejak pelaksanaan PKP pada 13 Jan lepas sebagai usaha membendung penularan COVID-19.
“Walaupun kerajaan membenarkan beberapa operasi seperti penyediaan penginapan beroperasi namun kita sebagai pengusaha pelancongan di Kadamaian berpendapat bahawa adalah lebih baik menutup sepenuhnya operasi pelancongan di sini kerana kes COVID-19 semakin meningkat.
“Kita tidak mahu ada kluster baharu yang berpunca daripada pusat pelancongan kami kerana kita tidak tahu sama ada orang yang datang benar-benar bebas daripada COVID-19 atau tidak,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata antara faktor lain yang menyebabkan semua pengusaha pelancongan di situ menutup operasi adalah disebabkan kurangnya pengunjung.
“Sejak tahun lepas pengunjung yang datang agak sedikit walaupun bukan PKP. Jadi sudah pasti semasa PKP tiada orang yang berani untuk berkunjung ke pusat pelancongan…kalau ada pun hanya beberapa orang dan ia tidak boleh menampung gaji pekerja,” katanya.
Pusat pelancongan itu yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian memiliki 74 kampung dengan keseluruhannya lebih 35,000 penduduk, kira-kira 85 kilometer dari Kota Kinabalu mula menerima pelancong sejak lebih lima tahun lepas.
Antara aktiviti riadah disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit, arung jeram di Sungai Kadamaian, aktiviti memerhati burung, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi.
— BERNAMA
Sabahnewstoday