PH mahu menang, hukum bekas ahli khianati parti’ – Anwar Ibrahim

HULU KLANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingat pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN), Hulu Kelang supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan dikecapi setakat ini.

Beliau berkata, PH bukan sekadar mahu menang di Hulu Klang, malah gabungan parti itu mahu menghukum bekas ahlinya yang mengkhianati parti.

“Saya kenang sejarah Melayu yang menyebut orang yang khianat harus pertama sekali dihukum mati dengan disula.

“Anak muda mungkin tidak tahu apakah hukuman sula. Buluh diambil dan cucuk daripada bawah sampai ke mulut, sula sampai mati, selepas itu rumah dibakar hangus dan tapak tanah rumah itu dicangkul serta dicampak ke laut,” katanya berucap pada program ceramah mega Perpaduan DUN Hulu Kelang di Taman Permata, di sini malam ini.

Anwar berkata, pengajaran daripada hukuman itu ialah dalam sejarah Melayu, anak Melayu diajar tidak melayan dan melarang pengkhianat dalam kalangan mereka.

“Jadi, sesiapa yang melompat parti (mengkhianat), kita akan lingkupkan (kalahkan) mereka,” katanya.

PH mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli untuk merebut kerusi DUN Hulu Kelang dalam PRN Selangor 12 Ogos ini.

“Saya tak boleh janji lebih sebab ini kempen pilihan raya, tetapi kalau Juwairiya menang di sini, nanti saya beri dia akses terus kepada Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Lebih 1,000 orang hadir program yang berlangsung di padang bola Taman Permata, Hulu Kelang itu.