RANAU : Beli belah secara talian atau online shopping telah menjadi medium utama perniagaan ketika ini yang harus dimanfaat dengan sebaiknya oleh usahawan untuk menjana pendapatan.
Ahli Dewani Undangan Negeri Dilantik Datuk Amisah Yassin berkata disinilah bermulanya e-Usahawan dapat terus berkembang kerana pada masa kini ramai yang membeli barangan seperti baju, makeup, barang keperluan rumah dan banyak lagi melalui aplikasi-aplikasi dalam talian.
“Dunia semakin hari semakin maju dan banyak perubahan dapat dirasai. Jaringan internet sudah sebati dalam kehidupan seharian.
“Tidak kira di mana kita berada, semuanya boleh diakses di hujung jari saja,” katanya semasa merasmikan program E-Usahawan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) anjuran Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Ranau di sini, semalam.
Amisah yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Paginatan berkata dengan adanya, program seperti begini akan dapat membantu usahawan mempelajari proses dan cara bagaimana untuk mulakan perniagaan di atas talian.
Menurutnya bidang e-usahawanan telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi negara terutamanya negara-negara maju dan sedang membangun.
Katanya bidang keusahawanan telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi negara, daya saing negara, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru serta meningkatkan kualiti kehidupan.
“Kita ambil contoh daripada seorang ahli perniagaan iaitu Mr. Lee Thiam Wah, Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speedmart.
“Beliau merupakan seorang yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya namun beliau tidak menganggap kelainan upayanya sebagai satu cabaran, sebaliknya 99 Speedmart telah menjadi satu rangkaian kedai serbaneka yang terbesar di Malaysia,” ujar Amisah.
Amisah berkata pengetahuan mengenai skil pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran sangat membantu usahawan dalam menentukan hala tuju perniagaan mereka.
Selain itu, katanya, pengetahuan dan kemahiran dalam aplikasi teknologi yang bersesuaian dengan perniagaan mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk dan perkhidmatan yang diusahakan.
Justeru itu, katanya, usahawan juga perlu mempunyai ketahanan dan kesabaran apabila berdepan dengan cabaran.
Ini, katanya, memerlukan mereka bijak dan kreatif dalam mencari solusi apabila berdepan dengan cabaran.