LABUAN (Bernama): Sebagai sebuah pulau bebas cukai yang bekalan bahan makanannya bergantung kepada Sabah, perkhidmatan barangan perlu antara Labuan dan Sabah perlu dipastikan berjalan lancar sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.
Beliau berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) antara Labuan dan Sabah perlu dikaji dengan teliti, bagi memastikan penghantaran barangan ke pulau itu tidak terjejas, yang boleh menyebabkan kenaikan harga yang tidak sepatutnya.
Sejak dahulu lagi, Labuan bergantung bekalan sayur segar dan bahan mentah makanan daripada Sabah. Pesakit kronik juga secara kerap berulang alik ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan dan sebab itulah masih ada orang yang mendapatkan kebenaran berkaitan kepada kerajaan. Oleh sebab itu, SOP perlu dikaji secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama secara dalam talian hari ini.
Semalam, kerajaan negeri Sabah mengumumkan sekatan pergerakan antara Sabah dan Labuan berkuatkuasa serta-merta, berikutan pengesanan varian COVID-19 India di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Saya menyokong syarat lebih ketat yang dikenakan Kerajaan Sabah untuk orang ramai antara Sabah dan Labuan. Saya percaya ia akan bantu menyekat penularan COVID-19 antara kedua-dua negeri dan ke daerah lain di Sabah, terutamanya varian India yang baru dikesan itu.
ADVERTISEMENT
“Syarat perjalanan antara negeri lebih ketat juga perlu dikenakan antara Labuan, Sarawak dan Kuala Lumpur kerana kawasan ini (dengan kawasan zon merah) kini lebih terdedah kepada varian antarabangsa,” katanya.
SabahNewsToday