Peringatan Agong kepada rakyat sehari sebelum Aidilfitri wajar diberi perhatian serius – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU: Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sehari sebelum perayaan Aidilfitri, yang mengingatkan seluruh rakyat Malaysia memperalatkan isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak adalah tepat pada masanya dan wajar diberikan perhatian serius.

Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor berkata, sememangnya benar, sejak akhir-akhir ini terdapat pihak tertentu
tidak bertanggungjawab yang cuba menaikkan kemarahan rakyat, termasuk di Sabah dengan memainkan pelbagai isu sensitif termasuk mengaitkan UMNO Sabah dengan unsur ekstrimis dan keganasan.

Menurut Jeffrey gambaran yang diberi terhadap UMNO Sabah sama sekali tidak benar hanya semata-mata kelantangan ketua pemuda UMNO Malaysia membangkitkan isu stokin tertera kalimah Allah dijual di KK Mart.

“Seperti yang dititahkan oleh Agong, UMNO Sabah sentiasa mendukung politik berhemah dan menolak politik ekstrimis.

“Pemimpin dan ahli UMNO Sabah juga cintakan keamanan dan keharmonian serta menghormati kepelbagaian kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffrey berkata UMNO sudah bertapak hampir 33 tahun di Sabah, dan melebarkan sayap ke Sabah atas permintaan rakyat negeri ini sendiri sekitar 90an.

Untuk rekod, antara pemimpin yang menyokong penuh UMNO dahulu ialah Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Hajiji Noor, Datuk Masidi Manjun dan Datuk Seri Anifah Aman.

“Sepanjang tempoh tiga dekad itu, tiada isu yang mengaitkan UMNO Sabah dengan amalan ekstrimis dan keganasan.

“Namun terdapat pemimpin bukan UMNO yang kreatif mengambil kesempatan untuk mengaitkan Sabah dengan amalan ekstrimis dan mengajak rakyat Sabah tolak UMNO…ada di kalangan pemimpin yang sudah ditolak rakyat dan cuba memainkan isu kebencian terhadap UMNO supaya kelihatan relevan dalam arena politik Sabah,” katanya.

Semalam, Agong menasihati semua pihak memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan.

“Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni. Saya berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman. Bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi semua parti, titah Agong.

Sementara itu, Jeffrey menyeru orang ramai mengeratkan silaturahim, perpaduan dan sentiasa menjaga kesihatan di musim perayaan ini.

“Kami dalam UMNO dengan rasa rendah diri dan gembira mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua,” katanya.