Pergerakan rentas daerah hanya mengikut zon ditetapkan: Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah akan membenarkan pergerakan diantara daerah bermula pada 17 Mei 2021 (Isnin) tetapi berdasarkan zon yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kelonggaran itu diberikan dengan daerah-daerah dibahagikan kepada enam zon.

Zon 1 terdiri daripada daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar. Zon 2 ( Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang), Zon 3 (Kudat, Kota Marudu dan Pitas).

Zon 4 (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod), Zon 5 (Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan) manakala, Zon 6 (Keningau, Tambunan dan Tenom).

Dengan keputusan itu, mereka yang tinggal dalam zon berkenaan adalah bebas untuk merentasi daerah di dalam zon itu sahaja.

Bagaimanapun, orang ramai masih diwajibkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti mana pengumuman Perdana Menteri ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 7 Jun depan.

Perjumpaan sosial seperti majlis keramaian, perkahwinan, pertunangan, seminar, mesyuarat serta banyak lagi masih dilarang. Bagaimanapun permit khas boleh dipohon dari pihak berkuasa untuk pertimbangan.

Sekolah dan institusi pengajian tinggi serta swasta tidak dibenarkan beroperasi dan kelas perlu dilaksanakan secara atas talian.

SabahNewsToday

Leave a Reply