Perbadanan Nasional Berhad salur RM12.6 juta kepada usahawan di Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sehingga kini telah menyalurkan RM12.6 juta kepada usahawan Wilayah Sabah merangkumi 33 jenama francais dan pra-francais dan menyasarkan RM4.2 juta potensi pembiayaan pada tahun ini.

Pernas secara keseluruhan telah menyalurkan sejumlah RM509 juta pembiayaan francais kepada 2,200 usahawan francais dan pra-francais manakala sejak Program BizFrancais diperkenalkan, Pernas telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM14.94 juta.

Berucap pada majlis perasmian Program BizFrancais Sabah 2023, hari ini, Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick, berkata terdapat pelbagai jenama homegrown di Sabah yang berpotensi untuk dibangunkan ke arah francais.

“Antara jenama-jenama francais yang berasal daripada Sabah seperti Mok, Fook Yuen, Nuvis, Sinar Suria dan Happy Potato serta banyak lagi jenama pra-francais yang dilihat mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa.

“Bagi mempergiat usaha melahirkan lebih banyak usahawan francais, pada tahun 2024, Pernas akan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi pembiayaan francais dan pra-francais,” katanya.

Malah, beliau berkata, KUSKOP melalui agensinya, Pernas akan meneruskan inisiatif pelbagai program baharu yang bukan sahaja menyasarkan wanita dan belia, malah pesara, veteran dan perusahaan sosial,” katanya,

Ewon berkata bagi melebarkan sayap jenama-jenama francais ke peringkat antarabangsa, Pernas juga bakal memperkenalkan Program Nurturing Brands for Expansion and Growth (NEXT) iaitu sebuah program untuk mengenal pasti dan seterusnya menyediakan para francaisor tempatan bagi membantu mengembangkan jenama produk francais ke luar negara.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pernas Afidah Azwa Abdul Aziz.