APM giat laksana proses kajian peremajaan semula fungsi dan peranan

SANDAKAN : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika ini giat melaksanakan proses kajian untuk peremajaan semula melibatkan fungsi dan peranannnya.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata Sabah menjadi kanvas kajian tersebut bermula pertengahan Oktober lepas dan dijangka dibentangkan di peringkat kementerian pada Februari tahun depan.

Katanya, kajian tersebut wajar dilaksanakan sejajar dengan usia penubuhan APM yang sudah melepasi 70 tahun.

“Sabah dijadikan platform yang paling sesuai untuk kajian ini berbanding negeri-negeri lain kerana ada pelbagai kelebihan dari segi penugasan seperti termaktub dalam Akta 221.

“Ini kerana Sabah mempunyai sempadan laut dan darat, ada pulau dan gunung, pernah berlaku gempa bumi dan Operasi Daulat yang mana negeri lain sama ada perkara seumpama telah lama berlaku ataupun tidak pernah berlaku.

“Penemuan dan hasil konsep yang dikumpul melalui kanvas kajian ini akan dibentangkan ke peringkat kementerian untuk kita jadikan satu dasar ataupun gerak kerja secara keseluruhan termasuk dikembangkan ke negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Penganugerahan Pingat dan Reben APM Bagi Zon Sandakan dan Zon Tenggara Tahun 2023 di Sandakan, hari ini.

Pada majlis tersebut, hampir 100 pegawai dan anggota APM bagi Zon Sandakan dan Zon Tenggara telah menerima pingat dan reben APM sebagai menghargai sumbangan dan kecemerlangan mereka.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Monsun Timur Laut (MTL), Aminurrahim berkata persiapan telahpun dilancarkan oleh pihaknya melalui Operasi Ramah (Op Ramah) sejak bulan Mei lalu.

Katanya, operasi tersebut akan berterusan yang mana pihaknya memberikan perhatian jika berlaku sebarang kemungkinan berlakunya bencana.

“Selain itu, seperti biasa kita meningkatkan latihan kepada anggota dan pegawai serta penambahan dan penyelenggaraan aset,” jelasnya.

Untuk rekod, seramai 14,840 kekuatan orang melibatkan 1,203 pegawai dan 13,637 anggota APM sedia digerakkan di seluruh negara bagi menghadapi MTL.

Daripada jumlah itu, seramai 2,274 pegawai dan anggota sedia digerakkan di negeri ini dengan aset meliputi 112 bot air, 17 buah lori, 26 pacuan empat roda, 24 ambulans serta 8,441 ctent.

“Meskipun Sabah diramalkan akan menerima taburan hujan yang sedikit dan berisiko untuk cuaca kering, namun APM mengambil penting perkara ini dengan pemerkasaaan penugasan anggota bagi Op Ramah dan penugasan Esszone,” jelasnya.