Peratusan keluar undi rendah untungkan Umno-BN

PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bimbang jika peratusan keluar mengundi rendah pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Sabtu ini, akan menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, jika peratusan keluar mengundi tinggi peluang untuk PN mentadbir Johor amat cerah.

“Saya percaya bahawa pimpinan anak-anak muda yang ada faham, kita tiada pilihan dan pilihan kita ialah sokong PN, cuma dibimbangi beberapa peratusan yang akan keluar mengundi, kalau ikut Melaka 60%, apakah Johor 59% atau 70%?

“… saya nak ingatkan kalau sekiranya peratusan keluar mengundi rendah itu akan menguntungkan Umno-BN, sebab kalau disana (Umno-BN) bersolat hajat jangan orang keluar mengundi, kita kena solat hajat supaya ramai-ramai keluar mengundi, makin ramai keluar mengundi peluang dan harapan kita untuk menang cemerlang amat baik sekali,” katanya laporan FMT selepas berucap di ceramah Pentas Anak Muda Johor, di sini.

Katanya, pengundi muda juga akan menjadi penentu kepada peningkatan sokongan PN.

Bekas perdana menteri itu, berkata kemenangan PN di Johor juga sebagai platform gabungan itu untuk bersiap menghadapi pilihan raya umum (PRU) dan menawan kembali Putrajaya.

“PN akan kembali berkuasa bukan sahaja di Johor, tetapi peringkat negara dalam PRU akan datang,” katanya.