KOTA KINABALU: Pesta Perahu Naga Antarabangsa memasuki edisi ke-9 mampu menarik minat lebih 130 penyertaan yang dijangka diadakan pada 7 Jun depan di Perairan Taman Teluk Likas.
Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri T.C. Goh berkata, setakat ini hanya dua pasukan luar negara mengesahkan menyertai kejohanan ini iaitu membabitkan Negara Brunei Darussalam dan Filipina.
Katanya, secara tidak langsung terdapat peningkatan mendadak kepada penyertaaan pasukan bot naga tempatan yang membabitkan beberapa negeri-negeri di Semenanjung termasuk Sarawak.
“Setakat ini penyertaan Pesta Perahu Naga Antarabangsa ini masih dibuka kepada kumpulan atau pasukan yang berminat menyertainya.
“Kita boleh menjangkakan penyertaan sehingga 155 pasukan menjadikan kejohanan ini antara pesta yang sangat dinanti-nantikan oleh peserta bot naga di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri Seri Kinabalu di sini semalam.
Goh berkata, hadiah bernilai sehingga RM94,000 ditawarkan kepada pasukan yang menyertai pertandingan ini termasuk kategori lelaki dan wanita.
“Kita alu-alukan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat di sekitar bandaraya Kota Kinabalu agar terus menyokong sekali gus memeriahkan pertandingan ini yang menjadi antara program dinanti-nantikan oleh mereka,” jelas Goh.
Mengulas mengenai kunjungan semalam, Goh berkata ini merupakan kunjungan rasmi kepada Yang Dipertua Negeri bersama isteri untuk menjemput kedua-dua mereka hadir bagi menyaksikan pertandingan tersebut selain menyampaikan hadiah kepada pemenang.
